Ukurlilit kepala bayi kepala besar selalunya akan naik secara mendadak. Dalam kes Rizqi, ukurlilit sewaktu dilahirkan adalah normal iaitu 38cm. Kemudian naik sehingga 43cm dalam masa sebulan. Dan akhirnya 3cm dalam masa sehari.
Perkembangan bayi adalah tidak sama. Ada bayi yang akan dipantau sehingga 2 tahun sekiranya otak mereka tidak diberi tekanan oleh lebihan air tersebut. Itu yang diberitahu kepada kami pada mulanya. Sebagai ibu bapa awalnya kami tidak bersetuju kerana kami takut kepala anak kami semakin membesar dan akan terlantar seumur hidupnya.
Kami ke klinik neurosurgeri buat kali kedua sewaktu ukurlilit kepala Rizqi naik 3cm sehari dan terus dimasukkan ke wad. Pembedahan terus dijalankan pada keesokkan harinya. Bagi pesakit yang mendapatkan rawatan awal dan Hydrocephalus terjadi disebabkan oleh saluran semulajadi yang sempit berpeluang untuk menjalani kehidupan yang normal sekiranya tiada komplikasi dari pembedahan.
Mereka mungkin akan mengalami kelewatan dari segi perkembangan tetapi dengan izin Allah mereka pasti akan boleh berjalan dan bercakap seperti anak normal yang lain. Rizqi lambat berjalan disebabkan oleh hydrocele atau air di dalam kemaluan. Pembedahan membetulkan tiub dilakukan sewaktu berumur setahun. Dan boleh berjalan tak lama selepas itu.
Ada pesakit yang dirujuk kepada fisioterapi dan cara kerja, ada yang tidak memerlukan rujukan. Mereka hanya memerlukan masa dan sokongan dari keluarga dan penjaga. Doa ibu juga amat diperlukan untuk mereka. Jangan berhenti berharap dan selalu minta yang baik-baik untuk anak-anak kita. In shaa Allah yang datang nanti akan baik-baik sahaja.